Tunda Kepuasan Sebentar

Tahun lalu, sahabatku Aweng pernah berkongsi secara ringkas tentang kepentingan untuk menunda kepuasan (delayed gratification) dalam kehidupan. Masa tu kami berkumpul di rumah Kong untuk majlis bacaan Yasin.

Delayed gratification merujuk kepada keupayaan seseorang untuk mengorbankan kepuasan diri daripada sesuatu yang menggoda pada saat ini demi keuntungan, kepentingan atau tujuan yang lebih besar di kemudian hari.

Aku lebih suka guna perkataan mengorbankan berbanding menunda. Kenapa? Percayalah, ia bukan mudah pada kebanyakan manusia; aku juga tidak terkecuali.

Ada sebuah pepatah melayu yang menggambarkan tentang ini;

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian

Secara umumnya, konsep delayed gratification adalah tentang kesabaran, pengawalan, dan kefahaman bahawa menahan diri daripada kepuasan segera dapat memberikan manfaat yang lebih besar dalam jangka masa panjang.

Di sini aku kongsikan secara ringkas (betul-betul ringkas) beberapa contoh situasi untuk mengamalkan konsep delayed gratification dalam kehidupan seharian.

Pendidikan

Sebagai murid, tidak kisahlah formal atau tidak, peraturan perlu dipatuhi, guru perlu dihormati, adab kena dijaga sebaiknya.

Berikan tumpuan yang maksimum. Jangan malu untuk bertanya. Ulangkaji setiap ilmu yang diterima, buat latihan, kerana latihan akan membuatkan kemahiran bertambah baik.

Kesihatan

Soal makan perlu diberikan perhatian yang serius sebab aku pun selalu terbabas bab ini. Aku ingat Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memberikan nasihat tentang bagaimana dia menjaga kesihatan melalui pemakanan. Perhatikan nasihat beliau.

Berhenti makan bila anda merasakan makanan itu terlalu sedap.

Tun M

Bukan senang bang! Soal makan ini antara yang sukar dan mencabar, ini belum masuk tentang bab kualiti makanan lagi.

Almarhum Abuya Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam pernah berkata dalam kuliah beliau yang pernah aku hadir.

Nabi ﷺ itu makannya sikit.

Kita pula, sikit sikit makan. (maksudnya: sekejap sekejap makan lagi)

Almarhum Abuya Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam

Selain menjaga pemakanan, melakukan latihan fizikal secara konsisten seperti bersenam serta mengelakkan tabiat merokok atau pengambilan alkohol juga sangat penting.

Kerjaya

Mematuhi semua peraturan, garis panduan serta prosedur kerja yang ditetapkan oleh majikan. Bina hubungan profesional yang baik dengan majikan dan rakan sekerja. Jangan suka gaduh. Tiada orang yang suka dengan individu seperti ini.

Bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan serta melaksanakan tugasan sesuai dengan outcome yang dikehendaki oleh ketua jabatan atau individu yang menyelia tugas kita.

Jangan malu untuk meminta bimbingan daripada pegawai atau rakan sekerja sekiranya ada sesuatu yang kita tidak tahu atau mahir tentangnya.

Menjaga ketrampilan diri. Tidak perlu pakaian mahal dan berjenama, memadailah dengan berpakaian kemas dan mengikut peraturan. Pakaian mahal tapi ketiak hangit pun masalah juga tu.

Hubungan Interpersonal

Membina dan mengekalkan hubungan yang bermakna juga memerlukan komunikasi secara berkesan untuk menyelesaikan konflik dengan penuh kebijaksanaan.

Belajar untuk menjadi pendengar yang baik, bagi orang habis bercakap dulu, baru bercakap.

Sebelum bercakap, fikir. Jika tidak faham, tanya, jangan sampai salah atau gagal faham.

Elakkan diri daripada perdebatan dengan orang ramai, terutama di media sosial. Ia lebih banyak mengundang mudarat berbanding manfaat.

Kewangan

Merancang perbelajaan berhemah, bijak membezakan antara keperluan dan kehendak.

Belajar bersabar, ada benda yang kita perlu tangguhkan pembeliannya kerana ada keperluan lain atau duit belum cukup.

Menabung, melabur untuk persaraan, dan meminimalkan hutang adalah contoh amalan yang memerlukan menunda kepuasan semasa untuk kestabilan kewangan pada masa akan datang.

Akhirat

Mereka yang sanggup berjuang dan berkorban menundukkan hawa nafsu semata-mata untuk mentaati perintah Allah pasti akan menerima ganjaran yang dijanjikan Allah di akhirat kelak.

Mencapai matlamat dalam hidup, sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya, kewangan serta kehidupan peribadi yang merangkumi kehidupan akhirat memang memerlukan perjuangan, pengorbanan, usaha, dan kesabaran dalam tempoh masa yang panjang.

Kesimpulannya, delayed gratification adalah kemahiran penting dalam kehidupan seharian yang membantu individu membuat keputusan yang lebih bijak, mencapai matlamat jangka panjang, dan memperoleh kepuasan yang lebih besar dalam hidup.

Ya, lebih kurang begitulah, seadanya.

Kongsi catatan ini?